Berita oleh Sidang Media SRIAZ
DOHA, 26 SEPTEMBER – Cendekiawan Islam terkemuka dan Pengerusi Kesatuan Islam Antarabangsa, Syeikh Yusuf al-Qaradawi telah dilaporkan meninggal dunia petang kelmarin. Berita tersebut telah dikongsi melalui Twitter dan Facebook rasmi beliau. Allahyarham dilaporkan menghembus nafas terakhir di tempat tinggal beliau di Qatar. Lahir pada 9 September 1926, beliau meninggal dunia di usia 96 tahun.
Terlalu banyak sumbangan beliau pada dunia Islam. Disamping 120 buah buku yang beliau tinggalkan, beliau telah menerima lapan anugerah antarabangsa atas sumbangannya kepada keilmuan Islam sepanjang hidup beliau. Dengan itu telah menjadi salah seorang ulama Islam yang paling berpengaruh di seluruh dunia. Kerajaan Malaysia juga pernah menganugerahkan kepada beliau Anugerah Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2009.
Pimpinan-pimpinan Islam di Malaysia turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham. Melalui laman web IKRAM Malaysia, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada berita sedih yang telah sampai.
Di Negeri Perlis pula, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin menitahkan untuk diadakan Solat Jenazah Ghaib selepas solat Zuhur 28 September 2022 (Rabu) di seluruh masjid dalam jajahan Perlis. Dalam pekeliling itu, rakyat Perlis juga digalakkan untuk menyertai solat jenazah tersebut.