Berita oleh Muallim Mohammad Firdaus bin Rooslee
PERLIS, 29 SEPTEMBER – Seramai 40 orang murid telah menyertai bengkel Bahasa Melayu Penulisan 1.0 Sekolah Rendah Islam Al-Azhar, Arau, Perlis. Bengkel ini disertai oleh murid tahap 2 iaitu tahun 4,5 dan 6.
Menurut ketua panitia Bahasa Melayu, Muallim Mohammad Firdaus bin Rooslee, bengkel yang dijalankan bertujuan untuk memberi pendedahan tentang teknik-teknik mudah untuk skor A bagi kertas penulisan. Bengkel ini merupakan anjuran kali pertama Panitia Bahasa Melayu bersahutan dengan bulan panitia bahasa pada bulan September. Menurut Muallim Firdaus yang juga merupakan guru Bahasa Melayu Tahun 5 dan 6, bengkel ini dibuat setelah melihat pelbagai hasil rentetan pola penulisan daripada murid yang kurang memuaskan dalam Peperiksaan Penggal Satu yang lepas.
Menurut guru besar Sekolah Rendah Islam Al-Azhar, Muallimah Afifah Aliya binti Abdul Hamid berkata, bengkel ini memberi ruang dan peluang untuk murid-murid mempelajari teknik berkesan untuk diadaptasi dalam pembelajaran semasa sesi kelas dan juga semasa peperiksaan berlangsung. Murid perlu bersyukur dan memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya agar hasrat murni Panitia Bahasa Melayu dapat direalisasikan.
Usaha murni mengadakan bengkel seperti ini diharapkan menjadi pemangkin kepada panitia-panitia lain. Murid juga menunjukkan minat dan proaktif terhadap aktiviti yang dijalankan dalam bengkel.Tambahan pula, aktiviti di luar kelas sebegini memberi pengalaman baharu terhadap murid dalam aktiviti pembelajaran mereka.
Muallimah Samira binti Saad, guru Bahasa Melayu tahun 3 berkata, dengan kewujudan bengkel teknik menjawab ini, murid sudah mula jelas dengan formula dan teknik-teknik mudah untuk menjawab soalan penulisan yang diberikan. Pada masa yang sama, keyakinan murid bertambah apabila mereka berani tampil ke hadapan untuk memberikan pendapat. Menurut beliau lagi, keberkesanan program guru muda telah memberikan impak maksima dan sangat membantu dalam pelaksaan bengkel yang dijalankan.
Guru Bahasa Melayu Tahun 4, Muallimah Nur Afiqah binti Othman berkata, bengkel penulisan ini dapat menyuntik semangat murid untuk menulis ayat dengan sempurna terutama dalam aspek tatabahasa. Murid bercampur dengan tahun yang berlainan dalam satu kumpulan, sekaligus, membuka mata mereka untuk bekerjasama dan memberi buah fikiran dalam penulisan ayat. Pembelajaran di dalam kumpulan sememangnya mendatangkan impak maksima bukan sahaja tertumpu dari segi isi kandungan, malahan menghidupkan persaingan sihat antara murid.