Berita oleh Muallimah Atikah dan Muallimah Afifah Abdullah
Kangar, 24 JUN 2023 – Sekolah Rendah Islam Al-Azhar (SRIAZ) buat julung kalinya telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Sahsiah (AKAS) 2023 bertempat di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kangar, Perlis. Majlis AKAS 2023 ini telah dihadiri oleh 180 orang murid yang menerima anugerah dan ibu bapa.
Majlis AKAS SRIAZ 2023 juga telah dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIPs, Ustaz Muhammad Haafizuddin bin Abirerah, YDP IKRAM Perlis, Dr Shahrir Rizal, Pengerusi Lembaga Pengelola SRIAZ, Haji Wan Muda Wan Yahya, dan YDP PIBG Sekolah, Ts. Erdy Sulino.
Tujuan majlis dianjurkan adalah untuk mengiktiraf dan memberi apresiasi kepada lebih 70 orang murid yang mencapai kecemerlangan akademik, kokurikulum dan sahsiah. Usaha ini dilihat dapat menjadi perangsang kepada murid supaya berusaha bersungguh-sungguh dan menyuntik semangat murid-murid lain untuk terus cemerlang dan berjaya dalam semua aktiviti yang dilakukan.
Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Muhammad Haafizuddin memaklumkan bahawa SRIAZ berpotensi untuk menjadi sebuah pusat pendidikan yang lebih unggul dengan keseimbangan pendidikan akademik dan tarbiah yang ditekankan. Beliau juga merasa sukacita atas penganugerahan Premis Harapan (Kategori Sekolah Islam Swasta) kepada SRIAZ bulan lepas.
Dr. Shahrir Rizal pula dalam ucapannya telah memaklumkan bahawa banyak aktiviti yang telah dirancang oleh pihak IKRAM Negeri Perlis dan sekolah bertujuan untuk mengharmonikan antara kecemerlangan akademik dan sahsiah yang sempurna.
Guru Besar SRIAZ, Puan Afifah Aliya binti Hamid pula dalam ucapannya menyatakan bahawa cabaran dalam dunia pendidikan akan sentiasa berubah. Guru, murid dan ibubapa harus menggembleng tenaga dalam memastikan kecemerlangan yang seimbang dalam akademik dan sahsiah.
Sebanyak 13 anugerah telah dianugerahkan kepada murid berdasarkan pencapaian mereka. Anugerah–anugerah itu antaranya ialah Anugerah Pencapaian SPPIM, Anugerah Generasi Rabbani, Anugerah Pencapaian UPKK, Anugerah Dai Harapan, Anugerah Kelas Rahmah, Anugerah Kelas Harapan, Anugerah Pencapaian Peperiksaan Penggal Kedua Tahun 2022 dan beberapa anugerah lain.
Dalam sesi penganugerahan akademik, adik Nur Insyirah Hani Binti Nur Saifullah yang merupakan murid Tahun 6 sesi 2022 telah menerima anugerah akademik dengan pencapaian tertinggi iaitu sebanyak 18A.
Pada kemuncak majlis, dua orang murid Tahun 6 sesi 2022 iaitu adik Ahmad Razin Abqari Bin Muhammad Farid telah dipilih sebagai penerima Anugerah Khalid Al-Walid sementara Saudari Amirah Husna Binti Shahrir Rizal telah dipilih sebagai penerima Anugerah Asma’ Abu Bakar.